Temerloh ada Ikan Patin, Titik Tengah dan Sudirman
Temerloh adalah titik pusat atau titik tengah bagi Semenanjung Malaysia. Temerloh adalah bandar kedua terbesar selepas Kuantan, dalam negeri Pahang Darul Makmur. Bandar yang paling hampir dengan Temerloh adalah Mentakab, kira-kira 10 minit perjalanan, ada ura-ura dijadikan bandar Temerloh dan Mentakab sebagai bandar berkembar. Temerloh terletak di persimpangan antara Sungai Temerloh dan Sungai Semantan.
Temerloh terkenal dengan gelaran bandar ikan patin. Apa kata kita mengambil masa untuk melancong ke bandar Temerloh. Hari yang terbaik untuk datang ke Temerloh adalah pada setiap hari Ahad. Macam-macam ada dijual di pekan sehari yang dibuka seawal 7.00 pagi dan berakhir kira-kira pada pukul 1.00 tengah hari. Pasar Pekan Sehari ini dikatakan yang terbesar dan terpanjang di Pahang. Selain ikan Patin (Silver Catfish), ada dijual ikan Jelawat, Baung, Tenggalan, Lampam, Belida, Tilapia dan Kerai. Sekiranya anda adalah penggemar ikan sungai maka seharusnya berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini. Pastikan anda membeli ikan patin sangkar yang mengalir airnya dan bukannya ikan patin kolam yang hanyir yang berbau tanah dan lumpur. Ikan patin sungai mahal harganya dan boleh mencecah ratus ringgit. Maklumat ini berguna bagi mereka yang ingin menjamu selera di restoran atau gerai. Ingatlah bahawa harga seketul ikan patin sama ada ekor, kepala atau isi adalah lebih kurang RM10.00 pada waktu artikel ini ditulis. Tanya dahulu sebelum makan.