Kenalilah Wilayah Satun, Thailand.
Read more ...
Sempadan-sempadan Malaysia Thailand (Sinarmelayu.blogspot.com)
Wang Kelian dan Wang Prachan adalah satu-satu tempat djadikan tempat percutian kami sekeluarga pada sebahagian akhir tahun 2015. Daripada peta di atas, kita dapat melihat sempadan antarbangsa antara Malaysia dan Thailand. Sempadan dari barat ke Timur adalah Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Satun, Songkhla, Yala dan Narathiwat bagi pihak Thailand.
Saya telah pun melawat Songkhla yang terkenal dengan Hatyai. Insyallah, akan melawat Satun dalam sikit masa lagi. Yala, Narathiwat, dan Pattani belum ada dalam perancangan kami.
Sekiranya anda dari Perlis, anda boleh memasuki Thailand melalui Wang Kelian langsung ke Wang Prachan (Wang Belacan dalam bahasa Melayu), Wilayah Satun. Dari Padang Besar, Perlis langsung ke Padang Besar di Wilayah Songkhla,
Dari Kedah pula, anda akan memasuki Bukit Kayu Hitam langsung ke Sadao di Wilayah Songkhla. Di Perak, rentasan sempadan adalah dari Pengkalan Hulu (dulu dikenali sebagai Keroh) langsung ke Betong di Wilayah Yala.
Rentasan sempadan di Kelantan ada tiga tempat. Dari Bukit Bunga, langsung ke Ban Buketa, Wilayah Narathiwat. Rantau Panjang ke Sungai Golok di Wilayah Narathiwat. Pengkalan Kubor ke Tak Bai, di Wilayah Natathiwat.
Tumpuan percutian saya pada penghujung tahun 2015 adalah ke Wang Kelian dan Wang Prachan. Kami berkira-kira hendak bercuti ke Perlis langsung ke Wang Kelian dan Wan Prachan. Kemungkinan ramai sanak saudara yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan boleh join kami ke Thailand.
Dari Wang Kelian, Perlis anda boleh langsung ke Wang Prachan, Wilayah Satun. Anda boleh melepasi kedua-dua sempadan itu, tanpa sebarang dokumen perjalanan ( Pas sempadan dan Pasport) sejauh 2 km. Zon Aliran Bebas (Free Flow) mula diperkenalkan pada 6 Disember 1993. Pemberhentian Zon Aliran Bebas di Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian, Perlis adalah berkuatkuasa 1 April, 2015. Saya sendiri telah menghubungi Bilik Gerakan, Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-88801555 tengah hari tadi untuk mengesahkannya. Pembatalan sama pernah dilakukan pada 1 Februari 2008 lalu dan dibuka semula kepada orang ramai pada 4 Disember tahun yang sama. Mungkinkah sekatan itu akan dikaji kembali demi kebaikan ekonomi negeri Perlis ?
Saya suka ke Wang Kelian dan Wang Prachan. Produk kedua-dua negara ada dijual di sini. Pasar minggu yang dibuka dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang. Pasar itu biasa dikunjungi pada cuti hujung minggu dan hari kelepasan awam. Wang Kelian adalah lebih kurang 40 km dari Kangar dan 15 Km dari Padang Besar.
Zon Aliran Bebas,Wang kelian diberhentikan berkuatkuasa 1 April, 2015 telah mengubah haluan perancangan percutian kami sekeluarga. Kami akan bercuti ke Perlis, langsung ke bandar Satun yang lebih kurang 47 km dari pintu masuk, Wang Prachan (Wang Belacan dalam bahasa Melayu). Sebahagian besar sanak saudara yang tidak mahu membuat passport atau pas sempadan tidak dapat menyertai rombongan kami seperti yang dirancangkan sebelum ini.
Untuk keterangan lanjut tentang Wilayah Satun, anda boleh membaca blog satunsiam.blogspot.com. Penulis adalah Pn. Karlisa Halim seorang blogger tourism. Beliau fasih berbahasa Melayu dan suami adalah warga Malaysia. Pn Karlisa Halim tinggal di Kampung Guar Ban Khuan Satun.
Kampung Guar terletak 1 km dari Pekan Chalung. Pekan Chalung adalah persimpangan untuk ke Hat Yai, bandar Satun dan Pak Bara.
Dari Chalung ke Wang Kelian lebih kurang 26 km.
Dari Chalung ke bandar Satun lebih kurang 10 km dan ke Tammalang lebih kurang 17 km dan ke Tanyong Po lebih kurang 20 km.
Dari Chalung ke Hat Yai lebih kurang 100 km
Dari Chalung ke Pak Bara lebih kurang 46 km
Dari Chalung ke Manang lebih kurang 50 km.
Moh kita ke Satun, Thailand.
·
·
